Kemelut gaji tertunggak yang dihadapi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akhirnya menemui jalan penyelesaian setelah badan induk itu melunaskan keseluruhan hutang berjumlah RM2.1 juta kepada semua pemain dan pegawai.

Jumlah itu merangkumi kesemua gaji pemain dan staf pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia B-19 Kuala Lumpur.

Difahamkan, semua gaji yang tertunggak tersebut sudah pun dibayar pada 30 Januari lalu, iaitu dua hari sebelum sepak mula Liga Super menentang Pahang.

Bagaimanapun, ia merupakan penjelasan tunggakan bagi bulan November dan Disember 2018 sementara untuk Januari 2019 akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah lega. Ia sensitif kerana kami mahu bekerja. Jika kewangan begitu, fokus kami akan terganggu. Akhirnya KLFA sudah membayarnya dan kini masa buat pemain bekerja keras dan menghadiahkan kemenangan," kata pemain Kuala Lumpur, Fitri Omar.

Gaji yang tertunggak selama dua bulan sebelum ini mencetuskan kontroversi buat Kuala Lumpur sehingga menyebabkan berlaku perpindahan bintang pertahanan, Syazwan Andik Mohd Ishak, ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Ia satu tonik untuk pasukan dan saya mengharapkan perkara itu tidak akan berlaku lagi. Semua sedia maklum bahawa isu gaji adalah perkara sensitif," ujar pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah.