Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menggunakan khidmat satu pasukan guaman bagi memastikan badan induk itu dapat menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) dengan lebih teratur November depan.

Ahli Jawatankuasa KLFA, R. Kannan, berkata keputusan untuk menggunakan pasukan guaman itu dicapai dalam mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) KLFA yang bersidang bulan lalu.

“Pasukan guaman ini akan menasihati kami langkah seterusnya yang harus dilakukan sebelum kami mengadakan AGM, November depan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Untuk rekod, sembilan ahli gabungan KLFA, yang kini digantung keahlian, dilaporkan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) susulan kegagalan KLFA mengadakan mesyuarat pemilihan AJK bagi penggal 2018-2022 pada November tahun lalu.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menerusi surat bertarikh 22 Februari lalu, telah mengarahkan KLFA untuk mengadakan kongres tahunan sebelum atau pada 31 Mei lalu atau berdepan tindakan pembatalan pendaftaran oleh PJS.

KLFA, bagaimanapun, dilaporkan menghantar permohonan baru kepada PJS, yang bersetuju dengan cadangan KLFA untuk mengadakan AGM selewat-lewatnya November depan.

Dalam pada itu, Kannan, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KLFA, mendedahkan sejumlah 51 pasukan telah mendaftar dengan mereka untuk bersaing dalam Liga KLFA yang bermula secara rasmi hari ini dan dijangka berakhir pada Disember depan.

Daripada jumlah berkenaan, Kannan memaklumkan 11 pasukan akan bersaing dalam Liga Super, 14 pasukan dalam Liga Divisyen Satu, selain masing-masing 13 pasukan dalam Liga Divisyen Dua, yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Beliau memaklumkan KLFA turut mengambil pendekatan baru dengan menggabungkan sebahagian besar pemain Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) Kuala Lumpur dengan pemain pasukan Kelab Bola Sepak Cheras Perdana (CCP), yang bersaing dalam Liga Super KLFA.

“Kami dedahkan pemain muda dalam saingan Liga Super KLFA bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik untuk menghadapi Piala Belia dan Piala Presiden musim depan.

“Dengan menyertai Liga Super KLFA, maka pemain muda kami dapat didedahkan dengan lebih banyak perlawanan berbanding hanya 20 perlawanan dalam Piala Belia dan Piala Presiden seperti sebelum ini,” tambahnya.

-- BERNAMA