Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan pada saat-saat akhir dengan mencalonkan Tan Sri Annuar Musa selaku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, sekali gus menyaksikan saingan tiga penjuru dalam perebutan kerusi panas badan induk itu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, tiba di Wisma FAM di Kelana Jaya pada jam 4 petang tadi bagi menghantar pencalonan berkenaan.

"Beliau mempunyai pengalaman yang luas. Semasa menerajui bola sepak Kelantan, beliau mewujudkan tsunami bola sepak sehingga pasukan Kelantan menjadi sebuah pasukan yang disegani.

"Kami pasti beliau mampu membawa FAM ke arah yang lebih baik," ujarnya.

Sehubungan itu, kerusi utama badan induk itu bakal menyaksikan perebutan tiga penjuru di antara setiausaha agung, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan juga Annuar dalam Kongres FAM, Julai depan.

Annuar diletakkan harapan tinggi untuk kembali merebut jawatan presiden apabila sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menarik diri pada saat-saat akhir ketika dicalonkan dalam Kongres FAM tahun lalu.

Terdahulu, KLFA berminat untuk mencalonkan bekas pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mokhzani Mahathir, namun gagal menerima maklum balas daripadanya.

"Sebenarnya, kami telah menyenarai pendek lima calon yang berkelayakan.

"Memang cadangan asalnya adalah Mokhzani tetapi kami tidak berani meneruskan hasrat kerana tidak mendapat jawapan daripada beliau," tambah Nokman.