Tchetche Kipre memainkan peranan berbeza dengan bertindak selaku pembantu jaringan ketika memastikan Terengganu FC (TFC) menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi Liga Super malam tadi

Kipre berkata mengukuhkan kedudukan pasukan dalam liga merupakan keutamaan berbanding melebarkan rekod jaringan peribadinya.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu tidak memikirkan untuk menambah jaringan apabila membuat umpanan kepada Mohamad Ashari Samsudin untuk meledak gol pertama TFC pada minit ke-14.

Selain itu, Kipre turut membantu Lee Andrew Tuck menjana gerakan pasukan dalam aksi di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, itu.

"Saya melihat rakan berada dalam kedudukan baik berbanding saya. Saya tidak mahu mementingkan diri sendiri dan saya perlu menghantar kepadanya.

"Dia lebih mudah menjaringkan gol. Apa yang penting adalah kemenangan kami kerana saya ke sini untuk pasukan," kata Kipre.

Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, turut mempuji perwatakan pemain kerana melaksanakan arahan yang diberikan bagi memastikan tiga mata dapat dibawa pulang ke Terengganu.

"Apabila Negeri Sembilan menyamakan kedudukan, saya memberitahu pemain agar jangan berputus asa dengan karakter kamu sebagai seorang pemain profesional.

"Pada awalnya lagi, saya mahukan tiga mata dan mereka mengotakan apa yang saya cakap," kata Irfan.

TFC kini menduduki tangga teratas liga selepas meraih kemenangan kedua daripada empat perlawanan sementara menanti aksi lain pada malam ini.