Khidmat Hafiz Kamal jadi buruan PKNP

Oleh Azizan Hashim 10 Disember 2018 7808
Khidmat Hafiz Kamal jadi buruan PKNP
PKNP FC bersedia menerima Mohd Hafiz Kamal jika Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tidak mahu menyambung khidmatnya bagi kempen Liga Malaysia musim 2019.

Perkara itu dinyatakan oleh pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, ketika ditemui hari ini memandangkan kontrak Hafiz bersama juara Piala Malaysia 2018 itu bakal tamat hujung tahun ini.

"Jika Perak tidak mahu Hafiz Kamal, PKNP FC mahu," kata Abu Bakar.

Abu Bakar Bakar menjelaskan walaupun Hafiz sudah tidak beraksi selama setahun, pemain tengah kelahiran Pantai Remis itu masih boleh menjadi aset besar kepada pasukan.

"Hafiz mungkin tidak secergas dahulu tetapi pengalamannya cukup berguna, terutama untuk membimbing pemain muda saya.

"Dia mampu menjadi ketua yang baik dalam padang kepada PKNP."

Hafiz, 31, sudah pulih daripada kecederaan 'posterior cruciate ligament' (PCL), iaitu koyak ligamen di belakang lututnya, yang dialami pada September 2017 hingga menyebabkan dia terpaksa berehat sepanjang musim 2018.

Situasi itu membuatkan kedudukan pemain tengah itu bersama pasukan The Bos Gaurus sehingga ini masih samar-samar dan bergantung sama ada ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, masih mahukan khidmatnya atau tidak.

Abu Bakar berkata dia berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain Perak yang tidak disambung kontrak mereka musim depan bagi melengkapkan skuad 25 pemain untuk didaftarkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen