Khairul Fahmi dalam radar MU

Oleh Staff Writer 30 Oktober 2017 553
Khairul Fahmi dalam radar MU
Di sebalik kejayaan Kelantan mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan, mereka menerima khabar tidak menggembirakan apabila bakal kehilangan khidmat penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, yang kini dalam radar Melaka United (MU).

Melaka menamatkan cabaran Liga Super musim ini di tangga kelapan dan berjaya mencapai sasaran untuk kekal dalam saingan musim depan walaupun memegang status pasukan paling banyak dibolosi dengan 46 gol. 

Kepincangan di benteng akhir mencetuskan minat Melaka untuk mendapatkan Khairul Fahmi selepas pengurus pasukan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan rombakan pemain akan dilakukan untuk musim depan.

Ia sekaligus menguatkan spekulasi itu walaupun pernah cuba memancing khidmatnya pada penghujung musim lalu, namun tidak berjaya disebabkan masih terikat dengan kontrak.

“Kelemahan-kelemahan ini akan diperbaiki dan kami bakal menyediakan pasukan lebih mantap bagi menghadapi musim kedua dalam Liga Super. Jadi, perubahan besar dan drastik mungkin akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Khairul Fahmi ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, bagaimanapun, enggan mengesahkan kedudukannya kini meskipun wujud laporan mengatakan juara Liga Perdana 2016 itu bersedia menebus kontraknya.

“Saya masih terikat dengan kontrak yang berbaki setahun bersama Kelantan, jadi fokus masih bersama pasukan.

“Banyak pasukan yang tertarik untuk mendapatkan khidmat saya dan kita tengok apa yang akan berlaku nanti,” ujar Khairul Fahmi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen