Kecemerlangan penjaga gol baru Melaka, Khairul Fahmi Che Mat, jelas menjadi punca mengapa Perak gagal meraih kemenangan sewaktu kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan di Ipoh, semalam.

Melaka sudah boleh menarik nafas lega selepas melihat krisis di bahagian penjaga gol mungkin berakhir dengan kehadiran Khairul Fahmi.

Bekas penjaga gol Kelantan itu mempamer aksi luar biasa apabila menafikan banyak peluang keemasan tuan rumah selain cemerlang mengemudi barisan pertahanan Melaka dan perkara itu turut diakui pengendali skuad Hang Tuah, E. Elavarasan.

"Alhamdulillah saya dapat mengekalkan gawang tanpa dibolosi dalam aksi pertama. Bukan mudah untuk meraih satu mata di Perak.

"Kami masih berdepan laluan yang jauh kerana Melaka kini berada di kedudukan yang agak bahaya, jadi kami harus bekerja keras," ujar Khairul Fahmi.

"Secara keseluruhan, tuah juga menyebelahi kami dalam aksi ini. Persembahan penjaga gol juga amat baik, terutama ketika menyelamatkan satu percubaan yang sepatutnya diakhiri dengan jaringan oleh pihak lawan," tambah Elavarasan.

Hakikat sama diakui jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang memuji persembahan Khairul Fahmi walaupun pemainnya telah sedaya-upaya melancarkan banyak serangan berbahaya.

Dia juga kecewa kerana satu mata yang diraih itu membuatkan pasukannya gagal mengambil kesempatan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), yang diikat 2-2 oleh Selangor.

"Dia adalah pemain terbaik perlawanan. Khairul Fahmi mempamerkan aksi yang sangat hebat.

"Kami memiliki dua peluang keemasan dan dia menunjukkan aksi bertaraf dunia untuk menafikannya. Saya harus akui sukar untuk menembusi gawangnya," kata Durakovic.