Khairul Amri korbankan nombor bertuah demi Felda United

Oleh Staff Writer 10 Mei 2019 16767
Khairul Amri korbankan nombor bertuah demi Felda United
Penyerang import Felda United, Khairul Amri Mohamad Kamal, sanggup mengorbankan nombor bertuahnya, iaitu nombor 19, demi menghormati Christie Jayaseelen yang menggunakan nombor itu sejak dua tahun lalu.

Walaupun nampak remeh, penggunaan nombor pada jersi memiliki nilai tersendiri buat pemain bola sepak.

Ia berperanan membawa tuah atau sebaliknya.

Hal itu diakui Khairul Amri, yang terpaksa akur menggunakan nombor 9 sebaik bergelar penyerang Felda United.

"Saya perlu menghormati Christie kerana dia merupakan anggota lama di sini.

"Sebagai seorang penyerang, saya memiliki nombor tersendiri tetapi nombor 9 juga melambangkan seorang penyerang," katanya.

Khairul Amri memilih nombor 9 sebagai nombor barunya, namun berdasarkan rekod terdahulu, pemain kebangsaan Singapura itu memiliki sejarah buruk ketika menggunakan nombor itu sewaktu mewakili kelab Indonesia, Persiba Balik Papan, sembilan tahun lalu.

Penyerang berusia 34 tahun itu sudah mula berlatih dengan skuad utama Felda United sebagai persiapan menjelang perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam suku akhir kedua Piala FA di Jengka, malam esok.

"Sebelum ini, saya juga pernah menggunakan nombor lain tetapi tidak sesuai.

"Nombor 19 itu merupakan bintang cerah buat saya.

"Namun, saya berharap situasi itu akan berubah dan saya akan berjaya.

"Saya pernah menggunakan nombor 9 sewaktu dalam Liga Indonesia, namun saya tercedera selepas beraksi baik," tambahnya.

Sementara itu, kelegaan diluahkan Presiden Felda United, Anuar Malik, sebaik selesai menandatangani Khairul Amri.

"Apabila saya yakin Khairul Amri akan menyertai pasukan ini, saya juga berasa yakin dia akan memberikan segala-galanya untuk mendatangkan rezeki yang baik buat Felda United.

"Saya percaya kesungguhan seperti ini akan mendatangkan impak yang besar buat Felda United," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen