Khairul Amri elak badi nombor jersi

Oleh Staff Writer 20 Mei 2019 2416
Khairul Amri elak badi nombor jersi
Enggan pisang berbuah dua kali.

Pemain import Felda United, Khairul Amri Kamal, sah menukar nombor jersi menjelang aksi bertemu Pahang selepas mengalami kecederaan dalam aksi pertamanya ketika bertemu Kuala Lumpur dalam separuh akhir kedua Piala FA, 11 Mei lalu. 

Khairul Amri terpaksa direhatkan selama dua minggu selepas mengalami kecederaan bahu ketika berdepan Kuala Lumpur, sekali gus menangguhkan penampilan pertamanya dalam Liga Super.

Berikutan kecederaan tersebut, hasrat Felda United untuk keluar daripada zon penyingkiran masih belum berlaku.

Ia seolah-olah petanda yang tidak baik kerana situasi berkenaan mirip dengan kenangan pahit pemain kelahiran Singapura itu ketika menyarung jersi Persiba Balikpapan, 10 tahun lalu.

Situasi itu menyebabkan Khairul Amri terpaksa membatalkan kontraknya lebih awal ekoran kecederaan jangka masa panjang tersebut. 

Khairul Amri menyarung jersi nombor sembilan ketika ini manakala nombor kegemarannya, 19, menjadi milik Christie Jayaseelan. 

Justeru, pertukaran nombor barunya akan diketahui pertengahan minggu ini. 

"Mungkin dia mempunyai kenangan buruk ketika memakai jersi nombor 9 di Indonesia. 

"Jadi, mungkin ada keperluan untuknya menukar nombor jersi bagi menjernihkan fikirannya," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Dua aksi Liga Super tanpa Khairul Amri menyaksikan Felda United tewas besar 0-6 kepada Melaka United manakala pertemuan dengan Terengganu kelmarin, sekadar berkesudahan 1-1.

Khairul Amri kembali menjalani latihan dengan Felda United sejak Selasa lalu sebagai persediaan bertemu Pahang, Sabtu ini. 

"Jurulatih akan buat sesuatu sempena pertemuan dengan Pahang selain tumpuan perlu diberikan untuk aksi separuh akhir Piala FA dengan Kedah (23 Jun depan). 

"Ia satu peluang yang amat baik khususnya untuk pemain-pemain muda," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen