Kevin: ITC tiba selepas jendela perpindahan ditutup perkara biasa

Oleh Staff Writer 14 Jun 2018 7420
Kevin: ITC tiba selepas jendela perpindahan ditutup perkara biasa
Tiada keistimewaan diberikan kepada mana-mana pasukan bagi proses perpindahan pemain. Ketegasan itu dinyatakan penganjur Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL), bagi mengulas isu perpindahan penyerang import baru Kelantan, Cristiano Santos.

Kecoh di laman media sosial baru-baru ini apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mengumumkan seorang pemain import baru bakal memperkuatkan skuad The Red Warriors.

Apa tidaknya, ia dimaklumkan Bibi selepas seminggu jendela perpindahan kedua Liga Malaysia berakhir pada 3 Jun lalu.

Menimbulkan tanda tanya mengenai peraturan MFL berhubung proses perpindahan pemain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, tampil memberi penjelasan.

"Saya rasa mungkin ada sedikit kekeliruan di situ. Pemain itu tidak dibawa selepas jendela perpindahan. Pendaftaran pemain itu berlaku sebelum penutup jendela perpindahan pada 3 Jun lalu. 

"Cuma ITC (sijil perpindahan antarabangsa) pemain itu tidak sampai lagi. ITC masuk selepas jendela perpindahan (ditutup) adalah satu perkara yang selalu berlaku," katanya.
 
KAFA, bagaimanapun, diberi tempoh dua minggu dari tarikh pendaftaran pemain terbabit untuk mendapatkan ITC.

Selain Kelantan, beberapa pasukan lain turut berdepan masalah gagal mendapat ITC sebelum tarikh tutup pendaftaran, antaranya PKNP FC dan MISC-MIFA.

"Ini menunjukkan tiada apa-apa keistimewaan diberikan kepada mana-mana pihak. Perkara ini biasa berlaku, di mana permintaan ITC itu perlu dibuat sebelum tutupnya jendela perpindahan. 

"ITC itu akan sampai sedikit lambat tetapi pemain itu tidak dibenarkan bermain sehingga sijil perpindahan itu sampai," kata Kevin lagi.

Senarai pemain import baru Kelantan

Bakhtiyar Duyshobekov (Kyrgyzstan) - Pertahanan
Lazarus Kaimbi (Namibia) - Penyerang
Cristiano Santos (Brazil) - Penyerang
Alaeddine Bouslimi (Pertahanan) - Pertahanan
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen