SELANGOR 1 FELDA UNITED 1

Selangor gagal membuka saingan Liga Super musim ini dengan cemerlang selepas diikat Felda United 1-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Gol dalam separuh masa pertama daripada Antonio German belum cukup untuk memberikan tiga mata pertama buat Selangor sebaik Hadin Azman menyamakan kedudukan dalam babak berikutnya.

Selangor memaparkan penguasaan penuh dalam babak pertama, namun kerap kali dihampakan jentera serangan yang dikepalai penjaring tebanyak Liga Super musim lalu, Rufinho Segovia.

K. Prabakan terlebih dahulu menguji gawang Felda United yang dijaga Norazlan Razali, namun percubaannya pada minit ke-18 melambung tinggi.

Percubaan jarak jauh ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah, kemudian sekadar melewati palang gol lawan sebelum percubaan daripada Segovia turut berkesudahan sama.

Empat minit sebelum ke bilik persalinan, German yang menerima hantaran daripada Faiz Nasir memaparkan gerakan solo menarik sebelum merembat kencang ke penjuru kiri gawang Norazlan untuk skuad Gergasi Merah itu berkelebihan satu gol menjelang waktu rehat separuh masa.

Selangor memperoleh deretan percubaan dalam fasa awal separuh masa kedua, namun ketumpulan penyudah terus menghantui pasukan itu.

Menerusi gerakan di sebelah kiri padang, percubaan Segovia sekadar menggegar sisi luar jaring Felda United.

Segovia berpeluang menebus kegagalannya itu dua minit kemudian tetapi tandukannya pada minit ke-66 menuju tepat ke dakapan Norazlan.

Kegagalan Selangor melebarkan jurang mata akhirnya memberi padah apabila serangan balas pantas Felda United disudahkan kapten pasukan, Hadin, menerusi rembatan ke arah 'near post' gawang Khairul Azhan Khalid.

Kemasukan Nurridzuan Abu Hassan memberi nafas baru terhadap jentera serangan Selangor.

Dia hampir menjaringkan gol kemenangan Selangor pada minit ke-71, namun sepakan kaki kirinya berjaya ditepis keluar Norazlan.

Faiz turut menghasilkan percubaan kaki kiri gemilang pada minit ke-80.

Bagaimanapun, Norazlan sekali lagi bertindak tangkas dengan menguis keluar percubaan yang hampir menerobos ke gawangnya itu.

Nurridzuan sekali lagi mencabar penjaga gol lawan dengan sepakan dari luar kotak penalti pada minit ke-80.

Kegagalannya itu memaksa Selangor berpuas hati untuk membuka kempen kali ini dengan kutipan satu mata pertama.

Sementara itu, aksi tunggal Liga Perdana menyaksikan Perlis tersungkur kepada UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Singa Utara, yang diketuai Safee Sali tetapi pincang tanpa kelibat Badhri Radzi dan Khyril Muhymeen Zambri, dikejutkan dengan jaringan tuan rumah melalui Faiz Hanif Adnan pada minit ke-20 sebelum Wan Faiz Wan Sulaiman menjadikan kedudukan 2-0 (m-56).

Perlis berhasil merapatkan jurang melalui ledakan pemain import, Valci Teixeira Junior, ketika permainan berbaki setengah jam, namun hajat mereka untuk setidak-tidaknya berkongsi mata tidak kesampaian apabila keputusan 2-1 kekal hingga tiupan wisel penamat.