Kegagalan meneruskan rentak kemenangan jelas mengecewakan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas sekadar seri 1-1 dengan Kedah, malam tadi.

Irfan menyifatkan anak-anak buahnya tidak berkomunikasi dengan baik di atas padang selain mengabaikan aksi berpasukan, sekali gus membenarkan Kedah bangkit mengikat kedudukan.

Kelebihan satu gol dimiliki TFC juga, ujar Irfan, sepatutnya dilebarkan, namun mereka dikecewakan tindakan penyudah yang tidak berkesan.

"Saya tidak berpuas hati kerana kemenangan sudah berada dalam bayangan.

"Selain ketiadaan tonggak yang tercedera, faktor rehat yang panjang juga menyebabkan TFC gagal menampilkan aksi lebih kemas," katanya.

Aksi kurang meyakinkan penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, juga dipertahankan walaupun Irfan mengakui TFC cukup merasai kehilangan pemain-pemain utamanya.

Menurutnya, jentera serangan TFC tidak berfungsi dengan berkesan dengan kehilangan Mohd Shahrul Aizad, Abdul Malik Mat Ariff dan Kipre Tchetche akibat kecederaan.

Jurulatih berusia 66 tahun itu begitupun optimis prestasi skuad kendaliannya mampu menempatkan mereka dalam kelompok atasan Liga Super dengan aksi penting bertemu Pahang, 1 Mei ini.

"Walaupun gagal menjaringkan gol, dia (Akanni) menyesuaikan diri dengan cepat dalam pasukan saya.

"Daripada segi persembahan, kami beraksi lebih baik malam ini (semalam) berbanding perlawanan lalu bertemu Melaka United," jelas Irfan.