Pengendali Pahang, Dollah Salleh, boleh menarik nafas lega setelah skuad Tok Gajah mengutip mata penuh susulan kejayaan menewaskan PKNP FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Ipoh, semalam.

Berdasarkan mutu permainan, pengendali berpengalaman itu sedikit gusar dengan ketumpulan penyudah yang dipamerkan oleh barisan penyerangnya.

"Pahang menguasai permainan, cuma impak untuk menjaringkan gol itu tiada. Kami cuma bermain cantik sahaja, terutama dalam separuh masa pertama. Untuk menjaringkan gol, saya tidak nampak.

"Oleh itu, saya berpesan pada Mohamadou Sumareh (pemain gantian) untuk bersedia dan kemasukannya berjaya mengikat kedudukan sebelum Faisal Abdul Halim melengkapkan kemenangan, itupun dalam empat minit masa kecederaan," kata Dollah.

Dalam masa sama, keputusan itu tetap memberikan sedikit keyakinan kepada Dollah kerana sebelum ini, persembahan Pahang tidak begitu konsisten.

"Kami menang pun di minit-minit terakhir permainan. Tidak mengapa, yang penting kami kembali menemui sentuhan," ujarnya.

Pahang kini mengambil-alih kedudukan kedua liga selepas Perak tumpas di tangan Johor Darul Ta'azim (JDT) 2-0 di Larkin, semalam.