Kehilangan dua tonggak utama bukan halangan buat PKNP FC untuk memburu kemenangan ketika menentang Kuala Lumpur bagi menjarakkan jurang mata kedudukan mereka.

Berada di kedudukan ke-10 Liga Super, PKNP FC hanya mempunyai kelebihan satu mata daripada The City Boys yang semakin menonjol selepas aksi menentang PKNS dan PJ City.

Kebimbangan PKNP bertambah apabila tiada kelibat dua tonggak utama, iaitu pemain tengah, Ahmad Sukri Abdul Hamid, dan pertahanan, Amani Aguinaldo, akibat penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, yakin semangat juang dalam kalangan pemain PKNP mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan dua tonggak utama mereka itu menjelang aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

"Kami sedar apa jua boleh berlaku dan saya harap pemain yang akan diturunkan dapat beraksi dengan baik," katanya.

Tambah Abu Bakar, PKNP tidak akan mengambil mudah cabaran The City Boys meskipun kehilangan khidmat tonggak utama, Indra Putra Mahayuddin, yang turut menjalani penggantungan.

"Ramai pemain boleh menggantikan tempat Indra.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan pemain PKNP dapat menghasilkan permainan bertenaga dan mengutip mata untuk kami menjarakkan diri dengan Kuala Lumpur," tambahnya.