Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengakui terpaksa mengetepikan khidmat penyerang baru, Ifedayo Omosuyi, beberapa jam sebelum perlawanan, sekali gus merencatkan perancangannya untuk sekadar seri 1-1 dengan Melaka, semalam.

Ifedayo yang menjadi pembelian terbaru Red Giants sudah sedia untuk dipertaruhkan dalam aksi menentang Melaka walaupun baru sahaja tiba di Malaysia beberapa hari lalu.

Berada dalam senarai 18 pemain Selangor bagi pertemuan di Stadium Shah Alam itu, bekas pemain import Felda United dan Melaka itu bagaimanapun terpaksa diketepikan pada saat-saat akhir.

Ia berikutan kekangan membabitkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu, sekali gus menyaksikan skuad Gergasi Merah itu sekali lagi bergelut sepanjang 90 minit permainan.

"Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memiliki undang-undang dan kami telah berusaha bagi mendapatkan ITC Ifedayo 45 minit sebelum perlawanan bermula tetapi kami masih tidak dapat menurunkan pemain tersebut," kata Sathianathan.

Sementara itu, skuad Melaka tetap berupaya memberi komitmen tinggi untuk kekal bersaing dalam liga walaupun difahamkan berdepan masalah pembayaran gaji pemain.

Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan, enggan mengulas lanjut perkara itu, sebaliknya hanya mahu anak buahnya terus fokus setelah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

"Bagi saya, tiga perlawanan terakhir ini, kami boleh mengatasi lawan jika beraksi dengan lebih berkesan dan tidak membuang mata, jadi saya berharap pemain mengekalkan prestasi ini," katanya.