Penjaga gol, Bryan See Tian Keat, dilihat mampu menjadi senjata baru PKNP FC selepas memiliki pengalaman luas beraksi selama lima tahun di Amerika Syarikat (AS) ketika mengikuti pengajian ijazah kejuruteraan awam di Washington DC.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu menjadi perhatian selepas beraksi cemerlang walaupun PKNP tewas 0-1 kepada Kedah dalam Liga Super, 11 Februari lalu.

Dijangka terus menggalas tugas sebagai penjaga gol nombor satu PKNP, dia sebenarnya sudah mengenali jurulatih, Abu Bakar Fadzim, semasa berada dalam skuad Piala Presiden pada 2012.

Mengucapkan terima kasih kepercayaan Abu Bakar, Tian Keat berikrar akan cuba memastikan gawang PKNP dikawal rapi dalam aksi berdepan Kuala Lumpur, esok.

"Saya pun terkejut jurulatih memberikan saya peluang bermain menentang Kedah kerana ia adalah aksi profesional pertama saya dalam Liga Super.

"Saya fokus kepada perlawanan saya. Mendebarkan tetapi ia perkara biasa. Saya berharap dapat mengekalkan kedudukan saya dan fokus terhadap prestasi bagi mendapatkan kemenangan selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Tian Keat berharap dapat mengikuti jejak langkah bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, suatu hari nanti.

Menganggap tidak terlewat memulakan karier, dia turut mahu beraksi di luar negara pada masa depan.

"Saya masih berminat dan bersemangat lagi (untuk bermain di luar). Saya menghubungi beberapa kelab, termasuk di Amerika Syarikat, tetapi mereka mempunyai peraturan terhadap pemain asing.

"Mereka tidak mahu menggunakan pemain asing dalam posisi penjaga gol," katanya lagi.