Kesungguhan PKNP FC pikat Pinto

Oleh Azizan Hashim 23 Januari 2019 3042
Kesungguhan PKNP FC pikat Pinto
Kesungguhan PKNP FC untuk melamarnya adalah faktor utama Yashir Islame Pinto tertarik untuk menyertai pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019.

"Saya sering berhubung dengan penolong jurulatih pasukan (Chan Wing Hoong) dan oleh kerana minat mendalam pasukan ini terhadap saya, ia membuatkan saya datang ke PKNP walaupun pada masa sama mendapat tawaran daripada pasukan lain.

"Bagi saya, ia langkah yang baik untuk menyertai pasukan yang menunjukkan kesungguhan dan betul-betul berminat mendapatkan khidmat saya," katanya.

Selain itu, Pinto, 27, yang pernah mewakili Melaka United dan Perak masing-masing pada 2016 dan 2017, teruja dengan perkembangan kelab konglomerat itu.

"PKNP bermula sebagai sebuah pasukan kerdil dalam Piala FAM, kemudian ke Liga Perdana, dan kini dalam Liga Super.

"Ia satu lonjakkan besar. Jadi, saya rasa ada baiknya saya sertai pasukan ini dan menjadi sebahagian daripada pembangunannya serta membantu PKNP mencapai cita-cita dan impian berjaya dalam Liga Super 2019," kata pemain itu selepas memeterai ikatan dengan PKNP FC di pejabat Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, hari ini.

Pinto merupakan pemain import ketiga PKNP FC setakat ini dengan dua kuota lagi diisi Thomas Abbey dan Siyovush Asrorov.

Menurut pemain kelahiran Chile itu yang baru selesai tugasan bersama pasukan Palestin dalam saingan Piala Asia 2019 yang kini memasuki peringkat suku akhir, PKNP mempunyai kemampuan untuk menjadi pencabar dalam Liga-M musim ini berdasarkan kualiti pemainnya.

"Ada beberapa pemain pengalaman seperti Kancil (Hafiz Ramdan), Hafiz Kamal dan Mohd Hazrul Hazli Mohd Kadri. Malah, pemain import, Thomas Abbey, adalah pemain yang bagus," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen