Pemangku jurulatih Selangor, Nazliazmi Nassir, yakin tempias kejutan ekoran keputusan pihak pengurusan merehatkan ketua jurulatih, P. Maniam, akan membawa kepada aksi lebih matang Red Giants menjelang saingan kalah mati pusingan ketiga Piala FA, esok.

Berita yang diterima sehari sebelum mereka bertolak ke Kuala Terengganu itu ibarat butang panik yang dilancarkan pengurusan Selangor berikutan rentetan tiga kekalahan baru-baru ini.

Namun, kesan daripada langkah drastik pihak pengurusan itu dijangka mampu membangkitkan kembali semangat barisan pemain yang perlu terus bernafas dalam Piala FA serta mengutip mata dalam saingan liga.

"Saya yakin dan percaya Selangor mampu bangkit mencipta kemenangan selepas tiga kekalahan," katanya.

Tambah Nazliazmi, dia memikul amanah itu tanpa jaminan sentuhan magis tetapi menegaskan tiada istilah keutamaan aksi individu tanpa memikirkan kepentingan utama pasukan.

"Saya tidak akan melakukan sebarang keajaiban, sebaliknya ghairah untuk mencipta kemenangan. Bermain sebagai sebuah pasukan adalah perkara yang diutamakan," katanya lagi.

Ini merupakan tahun pertama Nazliazmi sebagai penolong jurulatih skuad senior Selangor selepas tiga tahun bersama skuad Piala Presiden Selangor.

"Segala keputusan akan dilakukan selepas aksi berdepan PKNS FC pada 1 April sebaik mesyuarat pengurusan mengenai isu ini diadakan," kata Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.