Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, lega dengan kehadiran semula tujuh pemain utama yang kini bebas daripada kecederaan dan diharap mampu membantu The Fighters keluar dari zon penyingkiran.

Nidzam mengakui Felda semakin terhimpit di kedudukan paling bawah Liga Super tanpa khidmat ketujuh-tujuh mereka sebelumnya gara-gara kecederaan berpanjangan.

Namun, itu belum cukup untuk menjadi penghalang buat skuad bimbingannya untuk meneruskan misi kekal dalam Liga Super musim depan.

Kehadiran semula nama-nama seperti Hadin Azman, Muhammad Daniel Amier Norhisham, S. Chanturu dan Christie Jayaseelan umpama penyelamat Felda menerusi baki lapan perlawanan yang tinggal.

"Kehilangan tujuh pemain utama yang terpaksa ditampung pemain muda sedikit-sebanyak memberi kesan kepada skuad Felda.

"Apapun, saya tidak mahu terlalu bersedih mengenainya, ia sudah pun berlalu dan kami perlu memandang ke hadapan.

"Selepas mereka semua kembali, saya berasakan kami boleh menjadi pencabar yang lebih baik, sekurang-kurangnya untuk misi kekal dalam Liga Super," katanya.

Dua aksi yang menuntut Felda untuk mengutip mata penuh selepas ini ialah pertembungan dengan PKNS FC dan PJ City FC selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Kami akan bertemu PKNS (14 Jun) dan tiga hari selepas itu, kami akan berdepan PJ City.

"Masing-masing perlu mendapatkan mata maksimum, jadi saya berasakan ia akan menjadi perlawanan yang menarik," katanya lagi.

Felda menghuni tangga paling bawah Liga Super dengan hanya mengumpul sembilan mata secara keseluruhan dengan satu kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan.