Johor Darul Ta'zim (JDT) melunaskan dendam disingkirkan dalam Piala FA oleh Pahang menerusi kemenangan 1-0 aksi Liga Super malam tadi untuk mengekalkan penguasaan di taktha liga.

Ini merupakan pertemuan ketiga kedua-dua pasukan musim ini, dengan aksi terakhir menyaksikan JDT diaibkan 0-3 oleh skuad Tok Gajah dalam aksi suku akhir Piala FA, April lalu.

Sememangnya, ia menjadi misi membalas dendam buat skuad Harimau Selatan yang hampir di depan seawal minit kelima, namun hantaran Fernando Elizari gagal disudahkan Fernando Marquez.

JDT, bagaimanapun, berhasil menggegar gawang Pahang pada minit ke-18 apabila ketua pasukan, Harris Harun, membuat tindakan susulan selepas percubaan awal Marquez untuk kedudukan 1-0 dalam babak pertama.

Bersambung babak kedua, tempo permainan semakin rancak dan JDT sepatutnya selesa di depan pada minit ke-57, namun gagal gara-gara ketumpulan penyudah Marquez.

Pahang yang cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan ditimpa malang apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua akibat mengasari Gary Steven Robbat pada minit ke-68.

Tempang dengan kekurangan seorang pemain nyata menyukarkan usaha pelawat untuk melakukan kebangkitan untuk JDT mempertahankan kelebihan satu gol itu sehingga wisel penamat.

"Perkara paling penting hari ini (malam tadi), kalau kami tidak mencipta peluang, maka saya tidak gembira.

"Begitupun, kami menghasilkan peluang untuk meledak gol, ini paling penting," kata jurulatih JDT, Raul Longhi.

"Pertemuan ini sentiasa sukar. Saya mengharapkan keputusan lebih baik.

"Kami telah berusaha menampilkan aksi terbaik," kata ketua pasukan dan pertahanan Pahang, Matthew Davies.