KUALA LUMPUR 3 PERAK 3

Perak terus hampa dalam mencari kemenangan dalam lima perlawanan Liga Super selepas seri 3-3 dengan Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, sebentar tadi.


Dua kad merah yang dilayangkan kepada kedua-dua pasukan mencemari perlawanan apabila mereka terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain.

Tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan menerusi kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim, yang menjaringkan gol sendiri pada minit ketujuh.

Kesilapan itu tidak menjejaskan prestasi skuad Warga Kota itu apabila bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-22, dengan Indra Putra Mahayuddin menampan masuk bola muntah selepas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, gagal menangkap kemas sepakan percuma Paulo Josue.

Skuad Perak bimbingan Mehmet Durakovic itu kembali di depan selepas Leandro Dos Santos menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 selepas Zaiful menjatuhkan Gilmar Da Silva.

Kuala Lumpur terus mengejar permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Guilherme de Paula pada minit ke-36.

Pemain import Kuala Lumpur, Luke Woodland, dilayangkan kad merah dalam separuh masa kedua kerana melakukan provokasi terhadap Shahrel Fikri Md. Fauzi selepas menjatuhkan penyerang Perak tersebut.

Bagaimanapun, Perak mengikut jejak langkah sama untuk meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim, diarah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua selepas mengasari De Paula.

Kuala Lumpur akhirnya berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-65 hasil percubaan menerusi sepakan percuma Josue, namun Perak bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Nor Hakim Hassan pada minit ke-86.