Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menyifatkan kejayaan membenam PJ City 3-0, malam tadi, sebagai kemenangan moral buat pasukannya untuk kembali bangkit mencabar kelompok atasan Liga Super musim ini.

Kelibat skuad The Red Ants pada awal musim ini mencuri tumpuan setelah mereka selaku pasukan bukan pilihan berjaya melakar beberapa kejutan.

Antaranya, PKNS FC membelasah Selangor 4-0 di samping seri dengan dua pasukan handalan, Kedah dan Terengganu, untuk berada dalam kelompok tiga teratas liga buat seketika.

Namun, selepas tersingkir dalam Piala FA, kemerosotan prestasi melanda pasukan tersebut yang gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi terakhir.

Justeru, keputusan malam tadi sememangnya melegakan pengendalinya, Rajagobal, menjelang baki tujuh perlawanan liga musim ini.

"Kami mahu mengekalkan momentum dalam setiap perlawanan tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.

"Pemain perlu sedar bahawa setiap perlawanan adalah berbeza.

"Mungkin sekiranya kami dapat mengekalkan momentum seperti itu, barulah kami dapat meraih keputusan-keputusan yang baik," katanya.

Sementara itu, PJ City terpaksa menelan kepahitan berikutan rentetan tiga kemenangan mereka berakhir di Stadium Shah Alam.

Dalam perlawanan itu, penggempur, Kpah Sean Sherman, menjadi duri dalam daging buat PJ City yang juga bekas pasukannya dengan meledak dua gol dengan gol pendahuluan dirakamkan Garbiel Guerra.

"Selepas menukar formasi dalam babak kedua, barulah kami mula dapat mengatur banyak serangan.

"Sekiranya kami dapat menyumbat sepakan penalti yang diberikan, mungkin beberapa jaringan lagi akan menyusul.

"Nampaknya malam ini bukan milik kami," kata jurulatih PJ City, K. Devan.