PKNP FC bangkit daripada kekecewaan setelah menjinakkan Terengganu FC (TFC) 2-1 hasil dua jaringan ketua pasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam tadi.

Walaupun menghadapi pelbagai kesulitan sebelum ini, PKNP tetap bersemangat mencari mata untuk mengukuhkan kedudukan selain merealisasikan impian untuk kekal dalam Liga Super.

"Misi sukar mengalahkan TFC di sini selepas PKNP dinafikan mata dalam dua perlawanan sebelumnya pada saat-saat akhir permainan ketika menentang Perak dan Pahang.

"Import baru pula patah kaki tidak dapat beraksi dan ditukar. Nasib baik kami dapat juga pengganti pada saat-saat akhir dan dia hanya boleh beraksi dalam perlawanan akan datang," jelas pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Akur dengan jadual yang begitu padat pada Ramadan kali ini, beliau berharap pemainnya cepat cergas dalam kunjungan ke Kuala Terengganu, hujung minggu ini.

"Saya juga nampak TFC bergelut dengan kecergasan.

"Selepas bermain di Kuala Lumpur, mereka bergerak ke Ipoh. Jadi, saya faham (situasi mereka). Nanti kami pula kena berkunjung ke sana (Kuala Terengganu) hujung minggu ini untuk perlawanan pusingan kedua," ujarnya.