NEGERI SEMBILAN 1 TFC 2

Negeri Sembilan rebah di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.


Selepas menewaskan Selangor (menang 4-1 di Kuala Terengganu) dalam aksi terdahulu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi Ashari Samsudin.

Jaringan tersebut meningkatkan semangat Negeri Sembilan untuk bangkit tetapi gerakan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Terengganu.

Usaha skuad kendalian Jorg Steinebrunner itu yang memberikan asakan sejak permainan bersambung dalam babak kedua, berhasil selepas Mohd Fakhrul Aiman Sidid menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 15 minit.

Namun, dalam usaha Negeri Sembilan mencari gol kemenangan, mereka terpaksa akur dengan kekalahan apabila Lee Jun-hyeob tampil sebagai wira TFC dengan menampan masuk hantaran silang Fitri Omar pada minit ke-84.

Selepas empat perlawanan, Terengganu memintas PKNS FC untuk menghuni tangga teratas liga dengan mengutip lapan mata.



Keputusan lain:

Liga Perdana

TFC II 2 UITM 3

KUANTAN 4 UKM 0

FELCRA 1 MISC-MIFA 1