"Tiada noktah dan kesudahannya,"itu rumusan membabitkan kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas sembilan ahli gabungan dilarang menyertai mesyuarat agung badan induk itu yang berlangsung hari ini rentetan daripada isu dalaman sejak November tahun lalu.

Kemelut itu berlarutan sejak tahun lalu apabila KLFA sepatutnya mengadakan kongres, namun ia ditangguhkan sehingga hari ini.

Presiden VIFC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, adalah antara sembilan ahli gabungan KLFA yang dipecat, menyebabkan mereka dilarang menyertai mesyuarat itu.

Namun, timbul tanda tanya apabila surat pemecatan dikeluarkan dua hari sebelum mesyuarat berlangsung Khamis lalu.

"KLFA telah memberi petunjuk awal untuk mengambil tindakan tersebut dan kami tidak terkejut perkara ini berlaku. Tetapi ia merupakan satu langkah untuk mengelak kami daripada menyertai kongres kali ini," kata Irwan.

Bagaimanapun, Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, mempunyai alasan mengapa mereka tidak dibenarkan menyertai mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur itu.

Menurutnya, selepas sembilan ahli gabungan dipecat, empat individu turut berdepan nasib sama selepas melanggar statut artikel 87, iaitu memberi kenyataan kepada pihak media tanpa pengetahuan jawatankuasa eksekutif persatuan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mempersoalkan tujuan pihak KLFA memecat keahlian sembilan badan gabungan mereka.

Walaupun pihak FAM belum menerima sebarang surat rasmi daripada KLFA, namun beliau menegaskan KLFA tidak memiliki hak penuh untuk berbuat demikian.

"Semua sembilan ahli yang dipecat merupakan badan-badan didaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan hal ini harus dilihat lebih diperincikan lagi," katanya.