Kemelut FAS: Hamidin ambil sikap berkecuali

Oleh Staff Writer 12 November 2018 781
Kemelut FAS: Hamidin ambil sikap berkecuali
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengambil sikap berkecuali dalam kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila menegaskan segala tindakan perlu mengikut perlembagaan statut persatuan masing-masing.

FAS dipalit kontroversi apabila kongres luar biasa (EGM) persatuan itu diadakan oleh 52 ahli gabungan minggu lalu.

Namun, ia dikatakan tidak sah kerana gagal mencapai kuorum diperlukan selepas hanya 10 ahli gabungan menyatakan sokongan bagi mesyuarat itu diadakan.

Artikel 34.1 Statut Perlembagaan FAS menyatakan EGM memerlukan 50 peratus tambah 1 sokongan ahli dan jumlah kehadiran dalam EGM itu tidak mencapai bilangan yang diperlukan.

"Saya hanya mahu memaklumkan kepada presiden (FAS) bahawa semua pemilihan perlu mengikut statut persatuan.

"Saya juga telah memaklumkan kepada Datuk Zaiton Othman (Pesuruhjaya Sukan) bahawa pihaknya mempunyai kuasa penuh menentukan keputusan dalam perkara itu," kata Hamidin.

Terdahulu, Hamidin melancarkan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) selaras dengan pelan hala tuju FAM 2019-2030 (F:30).

Projek ACE bertujuan memberi khidmat sokongan dan bantuan daripada sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.

"Perjumpaan hari ini adalah untuk menjelaskan secara terperinci hala tuju kami kepada semua presiden persatuan.

"Ini juga adalah perjumpaan kali pertama presiden FAM dengan kesemua presiden persatuan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen