Kelibat German pikat Abu Bakar

Oleh Azizan Hashim 11 Disember 2018 12898
Kelibat German pikat Abu Bakar
Tatkala semua pasukan Liga Super sedang giat mencari tenaga luar, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, terpikat dengan aksi pertama awang import kerakyatan Grenada, Antonio German.

Pemain kelahiran England itu memberi sumbangan bertenaga ketika membantu PKNP mencatat kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan di Stadium Parit Buntar, Ahad lalu.

Dalam perlawanan itu, Antonio yang berusia 26 tahun dan beraksi dalam Liga India (I League) untuk pasukan Gokulam Kerala FC, turut menjaringkan dua gol.

"Jika semua berjalan lancar dia akan menjadi milik kami.

"Dia mempunyai ciri-ciri pemain berwibawa. Setakat ini dia yang terbaik," kata Abu Bakar ketika ditemui.

Abu Bakar juga berkata dia akan menguji pemain itu sekali lagi dalam perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Sabtu ini.

Di samping itu, dia juga masih menunggu kedatangan tiga awang import, iaitu dua dari Ghana dan seorang dari Tajikistan, sambil menjelaskan mereka sepatutnya sudah tiba di Ipoh kerana telah menyatakan persetujuan untuk datang dan PKNP telah menghantar jemputan kepada mereka.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata dia mendapat Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad secara pinjaman daripada pasukan Perak The Bos Gaurus sementara bekas pemain MISC-MIFA, M. Mugenthiran, juga meminta diberi peluang untuk menyarung jersi PKNP.
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen