Pertemuan musuh setempat Pantai Timur di antara Kelantan dan Terengganu menyaksikan kedua-dua pasukan sama handal selepas terikat 1-1, dengan penyerang Terengganu, Tchethe Kipre, meledakkan gol terpantas dalam saingan Liga Super musim ini.

Gagal mencatat kemenangan dalam aksi pembuka tirai, kedua-dua pasukan turun memburu kemenangan, terutama tuan rumah, Kelantan, untuk aksi pertama di laman sendiri pada musim ini.

Bagaimanapun, The Red Warriors dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat seawal minit pertama apabila hantaran Ashaari Samsudin berjaya disudahkan Kipre.

Tersentak dengan gol tersebut, tuan rumah bangkit mengasak sebelum hampir meraih gol penyamaan pada minit ke-24, namun percubaan Do Dong Hyun melewati palang gol.

Usaha keras Kelantan untuk memburu jaringan akhirnya berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Nik Shahrul Azim Abdul Halim dikasari pertahanan Terengganu, Fitri Omar.

Peluang itu dimanfaatkan Dong Hyun untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati, namun gawang tuan rumah nyaris bocor pada minit ke-73 sebelum sempat diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat yang tangkas menyelamatkan percubaan Kipre.

Tuan rumah meraih peluang keemasan untuk menambah jaringan tetapi sepakan percuma Bruno Lopes sedikit tersasar dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat.

“Apa yang saya boleh katakan, tuah menyebelahi kami. Beberapa bahagian perlu diperbaiki, terutama aspek serangan serta daya membuat keputusan,” kata pengendali Kelantan, Sathit Bensoh.

“Selepas dapat menjaringkan gol awal, saya menjangkakan pemain-pemain akan terus memberi tekanan kepada lawan tetapi malangnya ada beberapa pemain yang tidak mengawal pihak lawan dengan baik,” ujar Irfan Bakti Abu Salim, ketua jurulatih Terengganu.