Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan empat pasukan Liga Malaysia, Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis, dikenakan pemotongan enam mata serta-merta selepas gagal melengkapkan pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB).

Menurut kenyataan dikeluarkan FMLLP hari ini, pihaknya telah menghantar surat peringatan pertama pada 27 Januari lalu untuk pasukan -- yang sebelum itu diberikan tarikh akhir pada 31 Disember tahun lalu -- membuat pengesahan penyertaan dalam pertandingan Liga Super dan Liga Perdana 2017.

"Pada 7 Mac 2017, surat peringatan kedua telah dihantar dan pihak FMLLP sekali lagi telah menghubungi pasukan melalui telefon untuk memberi peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017."

Tambah kenyataan itu lagi, pasukan harus memuatnaik surat selesai bayaran/tunggakan gaji, surat selesai bayaran/tunggakan KWSP, surat selesai bayaran/tunggakan Perkeso dan surat selesai bayaran/tunggakan LHDN ke sistem SPMB untuk melengkapkan pendaftaran pasukan. Surat-surat selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun-tahun sebelum 2017.

"Oleh kerana kegagalan melengkapkan proses pendaftaran, pemotongan enam mata perlawanan akan dikenakan kepada pasukan dan berkuat kuasa dengan serta-merta. Pasukan tersebut Kelantan dan T-Team daripada Liga Super dan ATM dan Perlis daripada Liga Perdana."

Sementara itu, FMLLP turut memberi amaran jika empat pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sebelum 15 Mei 2017, maka mereka dilarang mendaftar pemain baru semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya.

"Namun begitu, pasukan-pasukan hanya boleh mendaftar pemain baru jika pasukan memperolehi pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain yang sedia ada dalam pasukan. Ia di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baru adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil daripada transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil daripada pengurangan jumlah pemain keseluruhan.

"Tambahan lagi, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018.

"Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018."