Ketua jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic, yakin kad akreditasinya mampu diperoleh menjelang pertemuan dengan Perlis selepas terpaksa mengharungi tiga perlawanan Liga Perdana dengan memberi arahan dari tempat duduk penonton.

Kraljevic dilantik pada 26 Januari lalu untuk membimbing skuad Kelantan, namun kelibatnya tidak kelihatan di bangku simpanan sejak perlawanan pembukaan Liga Perdana, termasuk ketika Kelantan meraih kemenangan pertama dengan menundukkan UKM FC 1-0 di Cheras, semalam.

Ia ekoran kad akreditasinya masih dalam proses oleh badan pentadbir bola sepak negara, Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Sehubungan itu, dia hanya mampu memberikan arahan taktikal kepada pembantunya dari bangku penonton.

Bekas pemain import Kelantan era 90-an itu mendedahkan sudah pun menyerahkan segala dokumen seperti visa dan sijil kejurulatihan yang diperlukan selain yakin dia akan dapat bersama-sama pasukannya di bangku simpanan menjelang pertemuan dengan Perlis, Jumaat ini.

"Sudah tentu kad akreditasi adalah penting kerana jika saya berada di tepi padang, saya boleh memberi arahan dan membuat pertukaran.

"Saya melatih mereka pada setiap hari dan saya tahu apa yang dijangkakan daripada mereka," katanya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warrior (KRW), Fazli Mohammed. tidak berselindung akan membawa masuk beberapa pemain menjelang tarikh tutup jendela perpindahan liga, Rabu ini.

Biarpun tidak menamakan pemain tersebut, spekulasi bertiup kencang membabitkan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi, yang turut hadir ketika perlawanan Kelantan bertemu UKM semalam.

Badhri yang kini bersama Singa Utara masih menantikan majikannya itu untuk menyelesaikan gaji barisan pemain yang tertunggak selama dua bulan.

"Memang akan ada pendaftaran pemain baru dalam skuad Kelantan.

"Kelibat beberapa orang daripadanya boleh dilihat di sini (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur) tetapi kami akan mengumumkannya Rabu depan," kata Fazli.