Pengendali MISC-MIFA, K. Devan, berasakan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memerlukan seorang jurulatih yang cepat menyesuaikan diri dengan The Red Warriors.

Pandangan Devan adalah berlandaskan pengalaman singkatnya sebagai pengendali Kelantan pada 2016 yang menyaksikan pengendali berpengalaman ini meletak jawatan selepas enam bulan mengendalikan pasukan.

"Seorang jurulatih yang memahami tradisi, pemain-pemain, mentaliti pasukan ini. Beliau perlu segera menyesuaikan diri dengan Kelantan," kata Devan.

"Jika KAFA mengambil pengendali yang kurang berpengalaman atau baru, beliau berkemungkinan menghadapi kesukaran."

Pandangan sama turut disuarakan pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, yang turut pernah mengendalikan Kelantan pada musim 2001.

Namun, Rajagobal berpendapat mungkin seseorang pengendali tempatan mampu segera menyesuaikan diri dengan lebih cepat di Kelantan berbanding jurulatih import.

"Saya tidak menyatakan bahawa jurulatih import tidak mampu mengambil alih pasukan ini tetapi saya berpendapat pengendali tempatan mampu memberikan ramuan yang terbaik buat mereka," kata Rajagobal.