Pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mahu pemain The Red Warriors (TRW) berjuang untuk mendapatkan mata penting apabila sekali lagi turun menentang Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.

Selepas mencipta kejutan mengalahkan skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff itu 2-1, Selasa lalu, Yusri yakin semua pemainnya faham bahawa mereka tidak mampu lagi tercicir mata jika masih berhajat untuk kekal dalam Liga Super, musim depan.

Bagi Yusri, nasib pasukan Kelantan bakal ditentukan dalam baki lapan perlawanan lagi dan semua pemain memahami hakikat perlu berjuang habis-habisan bagi mendapatkan mata penting.

"Saya ingatkan kepada semua pemain bahawa kami (Kelantan) tidak mampu lagi tercicir mata.

"Kami ketinggalan agak jauh dengan pasukan di tangga ke-10, Kuala Lumpur, dengan lima mata. Harap semua pemain faham kepentingan mendapatkan mata daripada baki lapan perlawanan yang tinggal. Paling penting, kami perlu keluar daripada zon penyingkiran," katanya.

Pertemuan kali kedua di Stadium Darulaman ini menyaksikan Kelantan tampil sebagai tuan rumah memandangkan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu tidak dapat digunakan sepanjang bulan puasa ini.

Yusri, yang juga bekas jurulatih Felcra FC, membayangkan tidak akan melakukan rombakan pemain dalam kesebelasan utama TRW sambil menyatakan rasa puas hati dengan sumbangan dua pemain import baru.

"Setakat ini, hanya penyerang, Fakhrulzaman (Wan Abdullah Zawawi) mengalami kecederaan teruk. Buat masa ini, saya masih memikirkan siapa yang bakal menggantikannya.

"Dua pemain import baru (Lazarus Kaimbi dan Baktyiar Dulshobekov) juga beraksi baik dalam penampilan pertama dan harap mereka terus tingkatkan prestasi.

"Selain itu, semua pemain bebas daripada kecederaan dan makin bersemangat untuk terus mengecewakan Kedah buat kali kedua,"ujarnya.