Dalam usaha membaiki kepincangan skuad, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) secara rasmi menamatkan kontrak penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Mohammad Ghaddar, secara persetujuan bersama.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata Kelantan terpaksa membuat keputusan melepaskan Ghaddar selepas pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan ligamen lutut anterior cruciate ligament (ACL).

"Kecederaan yang dialaminya memerlukan tempoh masa yang panjang untuk pulih.

"Untuk makluman semua, penamatan kontrak di antara KAFA dan Ghaddar dibuat secara persetujuan bersama,” katanya.

Ditanya siapa pengganti Ghaddar, Bibi Ramjani memberitahu pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada pentadbir Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Kami akan rujuk kepada MFL dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada media.

“Kejayaan mendaftarkan pertahanan import, Alaeddine Bouslimi, pun sudah dikira dikira bernasib baik memandangkan sekatan yang yang masih berjalan,” katanya.

Untuk rekod, The Red Warriors (TRW) membuat kejutan apabila membawa masuk Ghaddar sebelum pintu pendaftaran pemain ditutup pada 13 Febuari lalu bagi menggantikan pemain tengah import, Morgaro Lima Gomis, yang mengalami kecederaan.

Ghaddar hanya menjaringkan tiga gol sepanjang bersama TRW, dua dalam Liga Super dan satu dalam Piala FA.

Dalam perkembangan berkaitan, Bibi Ramjani berkata Kelantan sudah mengikat pertahanan muda Kelab Marcerra Kuantan FA, Ahmad Haziq Fuad, bagi memantapkan barisan pertahanan selepas melepaskan ketua pasukan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, ke PKNS FC.