KELANTAN 1 TERENGGANU 1

Tuan rumah, Kelantan, mengikat naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC), 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.


TFC yang menguasai permainan membuka tirai jaringan menerusi tandukan kencang Igor Zonjic pada minit ke-13.

Kelantan yang menerima sentuhan pengarah teknikal kelahiran Jerman, Jorg Peter Steinbrruner, terus menyerang bagi memburu gol penyamaan.

Melalui sepakan penjuru yang diambil Flavio Beck Junior, pemain tengah, Muhammad Danial Hakim, menanduk masuk jaringan Kelantan selepas menewaskan penjaga gol TFC, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, pada minit ke-31.

Bersambung babak kedua, Muhammad Danial Asyraf Abdullah hampir meletakkan The Red Warriors (TRW) di depan, namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti berjaya ditangkap Wan Muhammad Azraie pada minit ke-58.

TFC hampir memperoleh jaringan kedua apabila sepakan kencang pemain gantian, Mohammad Haidhir Suhaini, terus ke dakapan penjaga gol gantian TRW, Abdul Arif Abdullah, pada minit ke-82.