Kelantan, Ferdinand berpisah

Oleh Farizal Yusoff 19 Mac 2018 3065
Kelantan, Ferdinand berpisah
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan penamatan kontrak penyerang import kelahiran Indonesia, Ferdinand Sinaga, secara persetujuan bersama berkuat kuasa hari ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata bekas penyerang kelab PSM Makassar itu dilepaskan atas faktor keluarga memandangkan isterinya akan bersalin dalam waktu terdekat.

“Dia memohon secara baik dan perbincangan berlaku atas dasar profesional. Dia juga tidak menuntut sebarang pampasan. Untuk makluman, kontraknya bersama KAFA berakhir hari ini (semalam) dan kami telah membayar gaji penuhnya bulan ini.

“Dia menunjukkan sikap tolak-ansur dalam perbincangan dan KAFA sangat menghargai tindakannya. Terima kasih atas sumbangannya selama ini,” katanya.

Bibi Ramjani juga menjelaskan keputusan untuk melepaskan Ferdinand atau terkenal dengan gelaran ‘The Dragon’ dibuat bagi membolehkannya mencari pasukan baru.

“Kami belum fikir untuk mencari pengganti Ferdinand (kuota Asean) kerana masih menunggu rayuan selepas Kelantan berdepan dengan hukuman yang dikenakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP),” katanya.

Untuk rekod, Ferdinand menyertai The Red Warriors (TRW) awal Januari lalu, dan dijangka akan kembali bergabung dengan kelab lamanya, PSM Makassar, di bawah kendalian jurulatih, Robert Alberts.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen