Kelantan bakal lalui proses rombakan

Oleh Staff Writer 17 Februari 2018 14495
Kelantan bakal lalui proses rombakan
Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui akan melakukan rombakan dalam skuad The Red Warriors untuk menguatkan aspek pertahanan menjelang aksi Liga Super bertemu Perak pada 24 Februari ini.

Selepas dibolosi enam gol hasil daripada tiga perlawanan, ia jelas menggambarkan kerapuhan benteng Kelantan pada musim ini.

Situasi itu membuatkan Yusri mahu mereka meningkatkan aspek pertahanan secara berpasukan dan dalam masa sama menguatkan bahagian lain dalam permainan Kelantan.

"Saya tidak boleh katakan pertahanan saya terlalu bermasalah kerana ia melibatkan keseluruhan 11 pemain. Secara bertahan, memang kami masih lagi longgar. Untuk itu, saya perlu memberi perhatian kepada corak bertahan," katanya.

Sementara itu, nama bekas pengendali Perak, Datuk M. Karathu, kini dicanang sebagai calon terbaru untuk menggantikan Sathit Bensoh yang dipecat Rabu lalu.

Sebelum ini, nama bekas ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov, turut dikaitkan dengan tugas ketua jurulatih skuad Pantai Timur itu.

Bagi Yusri, dia menyerahkan kepada pengurusan pasukan dalam menentukan calon sesuai, namun memberi jaminan akan melaksanakan tugas sebaik mungkin selaku pemangku jurulatih.

"Saya tidak ada masalah dengan mana-mana jurulatih dan saya akan memberi komitmen sepenuhnya kepada sesiapa yang dilantik menjadi jurulatih pasukan saya.

"Jika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ada calon terbaik, saya rasa itu yang terbaik untuk pasukan. Kami perlu lakukan yang terbaik dahulu sementara menanti jurulatih yang dimaklumkan oleh pihak KAFA," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen