Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengakui kesukaran yang bakal dihadapi anak buahnya menjelang aksi dengan Perak pada Selasa ini sambil merujuk kepada prestasi pihak lawan yang ketika ini di tahap terbaik.

Kekalahan 3-0 kepada Perak, Mac lalu, masih menghantui Gergasi Merah.

Tidak hairan persediaan untuk pertemuan dengan Perak lebih serius walaupun Selangor memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Ditambah dengan prestasi Perak yang berada di tahap terbaik mereka dengan menghuni tangga kedua Liga Super dengan kutipan 27 mata meletakkan Perak sebagai pasukan pilihan dalam saingan liga ketika ini.

Pengalaman jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang pernah mengendali pasukan Selangor sebelum ini juga antara perkara utama yang menjadi pemantauan Nazliazmi -- yang menganggap Mehmet banyak mengetahui rahsia kekuatan Selangor ketika ini.

"Saya menjangkakan aksi yang sengit di antara Selangor dan Perak. Kami berharap tidak kehilangan mata lagi," kata Nazliazmi.

Nada sama disuarakan Amri Yahyah yang tidak mahu kekalahan lalu menggugat Selangor untuk mencari kemenangan bagi mendapatkan kedudukan selesa dalam Liga Super.

"Jurulatih Mehmet seorang yang sangat dihormati tetapi kami akan cuba menampilkan aksi terbaik," kata Amri.