Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, melihat kehadiran semula ketua pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi, menjadi pencetus kebangkitan pasukan selepas cemerlang menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Negeri Pulau Pinang, petang tadi.

Kehadiran Shahrel yang membantu jentera serangan ketika pemain import, Gisung Yeon, masih belum menemui sentuhan, ternyata tepat pada masanya.

Biarpun tidak menjaringkan gol, Shahrel sering kali menghadirkan masalah buat lawan, terutama hantaran dan gerakan kreatif dari sebelah kiri gawang lawan.

"Saya tidak meletakkan harapan kepada Shahrel yang telah berehat panjang kerana kecederaan. Tetapi dia telah berjaya mengetuai pasukan ini dan meraih kemenangan," kata Abu Bakar.

Kuala Lumpur terus dilanda prestasi tidak menentu dan jurulatihnya, Fabio Maciel, kecewa pemainnya melakukan banyak kesilapan ketika lawan tidak mempamerkan persembahan yang terbaik.

"Kami telah tewas dalam perlawanan ini kerana kesilapan sendiri. Saya mengetahui kebolehan pasukan saya ketika menghasilkan peluang. Saya amat kecewa dengan kekalahan ini," kata Maciel.