Pemain tengah import terbaru PKNS FC, Bruno Oliveira de Matos, yang mempunyai pengalaman beraksi bersama kelab gergasi Serbia, Red Star Belgrade, menyatakan kesediaannya untuk melakar kejayaan dalam Liga Malaysia.

De Matos juga hadir dengan pengalaman beraksi dengan kelab gergasi Brazil, Palmeiras, sebelum berkelana ke Serbia bersama FK Novi Pazar dan Red Star Belgrade.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu kemudian mengerah kudrat bersama kelab Iran, Sanat Naft Abadan, sebelum menyertai PKNS ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia lalu.

Kini, De Matos bertekad mahu menggunakan pengalamannya untuk membantu PKNS menyerlahkan aksi lebih ampuh dalam baki saingan musim ini.

"Kini saya berada di Malaysia bersama pasukan yang baik. Saya melihat struktur pasukan ini sangat baik.

"Pemain-pemain di sini juga berkualiti dan kami mempunyai moral yang baik untuk meraih kejayaan," ujarnya.

Dalam pada itu, kehadiran De Matos turut meningkatkan moral rakan sepasukannya di PKNS.

Pemain sayap, Muhammad Faris Ramli, menyifatkan Matos sebagai seorang awang import berkualiti yang mampu memberikan impak posisitf buat pasukannya musim ini.

"Selepas kali pertama tengok, dia pemain seperti boleh memberi motivasi kepada pemain lain. Saya melihatnya dari luar, saya tidak sabar untuk bermain dengannya," katanya.