Kedah tidak boleh ambil mudah -- Aidil Sharin

Oleh Staff Writer 18 Jun 2019 159
Kedah tidak boleh ambil mudah -- Aidil Sharin
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menuntut pemainnya bersikap profesional dan bermain sepenuh hati ketika menentang PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini walaupun misi lebih penting menanti mereka empat hari kemudian.

Kedah antara empat pasukan yang berdepan jadual padat dalam kancah bola sepak tempatan.

Selain perlu mengharungi aksi Liga Super, mereka juga mempunyai misi penting untuk dilunaskan dalam separuh akhir Piala FA bertemu Felda United, Sabtu ini.

Namun, jurulatih itu menegaskan situasi itu tidak bermakna pemainnya boleh beraksi sambil lewa malam ini sekalipun ia mengundang risiko kecederaan.

"Kesemua kami profesional dan tidak boleh mengambil mudah ketika diberikan peluang untuk beraksi.

"Bagi saya, komitmen terhadap pasukan perlu diberikan keutamaan 100 peratus.

"Saya percaya kepada pemain saya dan saya rasa mereka akan memberikan 100 peratus," katanya.

Aidil Sharin membawa skuad utamanya ke Shah Alam dengan harapan mampu membawa pulang tiga mata penuh.

Kehadiran semula tiga tonggak, Rizal Ghazali, Jonathan Bauman dan Azmeer Yusof, yang bebas daripada penggantungan perlawanan, memberikan lebih pilihan buat jurulatih berkenaan untuk mencongak percaturan.

"Apa yang penting ketika ini ialah mengutip sebanyak mungkin mata yang kami mampu.

"Terdapat enam perlawanan lagi dan ia bergantung kepada berapa banyak kami mampu mengumpulkannya.

"Ia amat penting mengumpulkan mata sebanyak mungkin untuk sentiasa bersaing dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) dan Pahang di kedudukan teratas," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen