Kehilangan beberapa tonggak utama ternyata memberi kesan terhadap Kedah apabila tewas 3-2 berdepan Perak di laman sendiri dalam saingan Liga Super, malam ini.

Sebelum perlawanan berlangsung, pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusof, mengakui ketiadaan beberapa pemain utama -- Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar dan Ken Ilso -- sedikit merencatkan perancangannya dan kenyataan itu jelas terbukti di Stadium Darulaman.

Kedah ketinggalan seawal minit ke-30 hasil gol sendiri pemain pertahanan, Syazwan Tajuddin.

Syazwan -- yang mengisi kekosongan Rizal Ghazali yang ditimpa kecederaan -- cuba mengeluarkan bola di hadapan gawang, namun tindakannya yang terlalu gopoh menyebabkan jaringan gol sendiri.

Tersentak, Kedah cuba memperkemaskan permainan, namun ketiadaan Baddrol di bahagian tengah merencatkan hantaran ke jentera serangan dengan hanya Liridon Krasniqi terpaksa menggalas tugas selaku perancang utama seorang diri.

Skuad kendalian Nidzam sekali lagi menerima tamparan apabila terpaksa mengeluarkan kapten, Khairul Helmi Johari, pada minit ke-32 ekoran mengalami kecederaan.

Ketiadaan Khairul Helmi bingkas menampakkan kesan apabila benteng Kedah mula goyah dengan Nasir Basharuddin dan Gilmar Jose da Silva hampir meledak gol kedua pada minit ke-39 dan 42.

Perak menggandakan jaringan menerusi Nasir dua minit selepas separuh masa kedua dimulakan.

Pemain berusia 27 tahun itu bijak mengawal hantaran Yashir Pinto sebelum melepasi kawalan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal, untuk meledak gol kedua.

Kedah kemudian bangkit merapatkan jurang pada minit ke-59 menerusi tandukan Sandro da Silva.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Perak kembali memperkukuhkan kedudukan dengan gol ketiga hasil jaringan Gilmar pada minit ke-72.

Bekas penyerang Kelantan dan Sarawak itu bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan ke gawang Kedah yang tidak dikawal.

Enggan mengaku kalah, Kedah kembali dengan gol kedua hasil tandukan Liridon selepas menerima hantaran Mohd Fitri Omar pada minit ke-85.

Lang Merah hampir meledak gol penyamaan di hujung permainan tetapi tandukan Syafiq Ahmad sekadar menggegar palang gol.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat, lantas menyaksikan Perak melonjak ke tangga keempat liga dengan 21 mata sementara Kedah kekal dengan kedudukan ketiga, berkongsi mata dengan Pahang yang turut tewas 2-1 berdepan Felda United di Jengka.

Keputusan lain:

Johor Darul Ta'zim (JDT) 2 - 0 Pulau Pinang

PKNS 1 - 1 Melaka United

Selangor 4 - 2 T-Team

Kelantan 0 - 2 Sarawak

Felda United 2 - 1 Pahang

Kredit foto: Laman Facebook Kedah FA