Kemampuan pemain Kedah mengatasi tekanan dan asakan pihak lawan mendorong kepada kemenangan pasukan itu menewaskan Perak 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Lang Merah menjaringkan gol pertama menerusi N. Thanabalan (m-39), Renan Da Silva Alves (m-45) dan Fernando Rodrigues (m-88) dan pada masa kecederaan babak kedua manakala dua gol pelawat disumbangkan Shahrul Mohd Saad (m-29) dan Ronaldo Henrique Silva (m-78).

Penolong ketua jurulatih Kedah, Azmi Mohamed, berkata pemain Perak yang mempunyai kelebihan tersendiri cuba memberi tekanan kepada Kedah apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan, namun itu tidak mematahkan semangat anak buahnya.

“Sebelum perlawanan bermula, kami telah tekankan kepada pemain bahawa ini adalah ‘Darul Aman’ jadi mereka tidak boleh kalah di tempat sendiri. Walaupun diberi tekanan fizikal dan mental oleh Perak sepanjang tempoh 90 minit, pemain dapat laksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Usaha itu berhasil apabila kami melakar kemenangan malam ini dan saya berikan kredit kepada semua pemain yang bermain bersungguh-sungguh. Walaupun sebelum ini gol kami sering bolos pada minit-minit akhir perlawanan, kali ini kami pula berjaya membolosi pintu gol lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu .

Azmi berkata walaupun ketiadaan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, yang kini sedang mengikuti kursus, segala perancangan untuk mematahkan langkah Perak untuk memperoleh mata telah dibincangkan secara bersama dan semua perkara, termasuk pelaksanaan latihan dan perlawanan, adalah mengikut arahannya.

“Semua perkara kami bincangkan bersama walaupun dia (Aidil Sharin) tidak ada di sini. Selepas berbincang, kami akan sampaikan maklumat tersebut kepada pemain dan syukur pemain dapat laksanakan tanggungjawab dan arahan yang diberikan dengan baik sekali.

“Setiap kemenangan yang diperoleh adalah motivasi buat kami semua, jadi saya harap sokongan padu daripada peminat, pihak pengurusan dan pemain itu sendiri dapat berterusan sehingga perlawanan akhir nanti,” katanya.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil, berkata anak buahnya bermain dengan baik kerana menguasai perlawanan dan melakukan serangan, namun tidak mampu memanfaatkan kelebihan yang ada untuk menjaringkan gol.

“Kami banyak pegang bola tetapi tidak berjaya jaringkan gol. Jadi, selepas ini, kami akan baiki kelemahan yang ada dan beri yang terbaik untuk perlawanan akan datang.

"Selain itu, mungkin juga berlaku sedikit kelalaian dalam kalangan pemain sehingga membolehkan Kedah menjaringkan dua gol pada akhir perlawanan,” katanya.

-- BERNAMA