PERAK 1 KEDAH 1

Perak terus kempunan untuk melakar kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini apabila sama handal ketika diikat 1-1 dengan Kedah dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan turun dengan semangat tinggi dan saling mengatur gerakan berbahaya yang menyaksikan tuan rumah berpeluang untuk merobek pintu gol Lang Merah lebih awal dan usaha mereka itu akhirnya meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-18.

Selepas sepakan percuma Leandro Dos Santos digagalkan oleh tiang gol Kedah, lencongan sempurna sepakan voli Brendan Gan memperdayakan Ifwat Akmal Che Kassim.

Bagaimanapun, Kedah hanya memerlukan tiga minit untuk mengimbangi kedudukan perlawanan.

Kesilapan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang gagal menangkap kemas hantaran tinggi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar mengundang padah apabila Renan Alves berada di kedudukan tepat untuk melepaskan rembatan deras yang menembusi pintu gol kawalannya.

Insiden ketika permainan berusia sejam menyaksikan pengadil perlawanan, Hamdan Awang, dihimpit kecederaan sehingga perlawanan tertangguh hampir 20 minit berikutan kelibat penggantinya, Abdul Halim Ramlan, mendapat bantahan kerana merupakan anak jati Perak.

Berikutan itu, pembantu pengadil pertama, Shahreen Omar, dipilih untuk menggantikannnya.

Walaupun Perak dan Kedah meneruskan usaha untuk memburu jaringan kemenangan, namun tempoh lima minit masa kecederaan tidak memihak kepada mana-mana pasukan untuk berpuas hati berkongsi satu mata.

Keputusan lain:

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) 4 KUALA LUMPUR 1