Korban tiga mata demi Piala FA.

Itu perkara yang dilakukan ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, sewaktu skuad Tok Gajah tumbang 5-2 di tangan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.


Pendekatan pengendali itu menurunkan barisan kedua ketika berdepan The Red Giants jelas memakan diri apabila Pahang ditimpa kekalahan besar pertama musim ini.

Namun, bekas ketua jurulatih negara itu mempunyai alasan tersendiri berhubung percaturan yang dilakukan apabila menegaskan ia bagi mengelak risiko kecederaan memandangkan tugasan lebih penting menanti skuad Tok Gajah, Sabtu ini.

"Aksi malam tadi, saya terpaksa mengambil risiko, merehatkan kesebelasan utama disebabkan kami lebih tumpukan saingan Piala FA. Lagi satu, jika dikira secara matematik, kami masih memiliki kelebihan satu perlawanan, jadi sebab itu saya berani mengambil risiko itu," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, B. Sathianathan, menegaskan kemenangan 5-2 ke atas Pahang itu bukan disebabkan lawan menurunkan skuad simpanan.

Berang dengan kecaman peminat di laman media sosial, dia juga enggan mengulas mengenai peluang pasukan bimbingannya itu untuk ke pentas Asia musim depan selepas kembali berada dalam kelompok tiga teratas liga.

"Jangan kata ia disebabkan lawan menurunkan pemain simpanan. Kami juga tidak menggunakan pemain utama tetapi saya tahu keadaan yang dihadapi Dollah. Jika dia turunkan barisan utama, aksi akan lebih sengit," ujar bekas pengendali Felda United itu.

"Namun, tidak boleh katakan kemenangan ini diraih disebabkan tiada pemain utama. Itu belum tentu."