KUALA LUMPUR 2 SELANGOR 3

Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menundukkan Kuala Lumpur 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA, Cheras, sebentar tadi.


Jaringan dalam tempoh 11 minit dalam separuh masa kedua oleh Sandro Da Silva, Syazwan Zainon dan Amri Yahyah jelas membuktikan siapa jaguh sebenar Lembah Klang, sekali gus memadamkan dua gol tuan rumah dalam babak pertama menerusi Syafwan Syahlan dan Indra Putra Mahayuddin.

Beraksi di Cheras, kedua-dua pasukan turun dengan misi mengutip tiga mata pertama setelah gagal melakukannya dalam lima aksi terdahulu.

Bagaimanapun, skuad Warga Kota bimbingan Yusri Che Lah itu terlebih dahulu meraih pendahuluan di depan penyokong sendiri selepas empat minit perlawanan apabila Syafwan melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran lintang Zhafri Yahya.

Tuan rumah terus melebarkan kedudukan ketika babak pertama berbaki lapan minit, kali ini menerusi Indra Putra yang bijak menggunakan kesilapan Taylor Regan sewaktu melakukan hantaran ke arah penjaga gol Selangor dan pemain berusia 37 tahun itu mudah menewaskan Farizal Harun.

Bekas pemain Kedah yang baru menyertai The Red Giants musim ini, Syazwan, hampir merapatkan jurang buat pelawat selepas sembilan minit separuh masa kedua bersambung tetapi rembatan derasnya tersasar.

Asakan bertali arus Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Sandro bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 selepas dijatuhkan oleh Fitri Omar sebelum Syazwan menyamakan kedudukan buat anak didik B. Sathianathan itu enam minit kemudian.

Tersentak dengan kemaraan pelawat, Kuala Lumpur cuba memperkemaskan permainan, namun sebaliknya berlaku.

Kesilapan pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan kemas membolehkan Amri meledakkan gol kemenangan pelawat pada minit ke-77, sekali gus memberikan kemenangan sulung buat The Red Giants musim ini.

Kredit foto: Malaysianfootballleague