Kebangkitan jadi pemangkin semangat buat PJ City 

Oleh Staff Writer 17 Mei 2019 588
Kebangkitan jadi pemangkin semangat buat PJ City 
Kebangkitan ketika menentang Terengganu FC, tiga hari lalu, ibarat nafas baru buat PJ City FC bagi menghadapi baki Liga Super musim ini.

Kunjungan ke Kuala Terengganu mencetuskan keterujaan apabila PJ City merekodkan kemenangan 5-3 yang menakjubkan.

Ketinggalan 0-3, skuad kendalian K. Devan itu meledak lima gol dalam separuh masa kedua untuk merampas tiga mata.

Keputusan itu menjarakkan PJ City di tangga kesembilan liga dengan tiga pasukan dalam pergelutan zon penyingkiran, PKNP FC, Kuala Lumpur dan Felda United.

"Apa yang paling penting mengenai kemenangan ke atas Terengganu -- yang merupakan pasukan handalan dan beraksi di depan penyokong sendiri -- adalah kejayaan memperbaiki kedudukan kami dalam carta liga. 

"Keyakinan pemain juga bertambah baik dan kemenangan itu akan mendorong mereka untuk beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya," katanya. 

Kemenangan PJ City itu juga menyaksikan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, meletakkan jawatan.

Keputusan itu, pada pandangan Devan, merupakan satu kerugian buat pasukan Pantai Timur itu.

"Beliau patut bersabar memandangkan jarak mata antara pasukan tidak jauh, mungkin desakan penyokong mendorong peletakan jawatannya. 

"Beliau telah membawa Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia, tahun lalu. 

"Keputusannya meletakkan jawatan tidak berapa tepat sedangkan beliau masih ada masa untuk membentuk pasukan dan dengan kredibiliti serta pengalaman dimiliki, beliau pasti dapat mengubah kedudukan Terenggan pada akhir musim ini," katanya. 

Kempen PJ City dalam Liga Super akan diteruskan dengan pertembungan menentang Kuala Lumpur di laman sendiri, malam ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen