Ketua pasukan T-Team, Mohd Hasbullah Awang, berikrar untuk tidak membenarkan bentengnya dibolosi lawan apabila menentang Pulau Pinang dalam aksi Liga Super, malam esok.

Mengakui berasa tertekan dengan rentetan kekalahan sebelum ini, Hasbullah, 34, melihat ada peningkatan pada pasukan itu walaupun keputusan tidak menyebelahi mereka.

Katanya, sekurang-kurangnya empat mata diperlukan daripada baki tiga perlawanan liga untuk memastikan skuad The Titans kekal bersaing dalam saingan utama itu, musim depan.

“Walaupun Pulau Pinang di tangga tercorot, kami tidak boleh memandang mudah kerana ini adalah perlawanan wajib menang untuk T-Team.

“Kami amat memerlukan kemenangan dan saya harap peningkatan yang ditunjukkan dapat diteruskan serta memberi 100 peratus komitmen dalam padang,” katanya.

Hasbullah dijangka akan terus diberi tugas mengemudi benteng pertahanan bersama tonggak import, Abdoulaye Maiga, dan pemain muda, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan mutlak, dengan T-Team kini di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 19 mata manakala Pulau Pinang dengan 12 mata di tangga terbawah.