Pemain kelahiran Ivory Coast, Marcel N'Guessan, mahu mendapatkan kemenangan pertamanya bersama Terengganu FC (TFC) dalam aksi berdepan Perak di Ipoh, malam ini.

Dipinjamkan daripada skuad TFC II, N'Guessan membuat penampilan pertama ketika terikat 3-3 dengan Melaka, Sabtu lalu dan dijangka akan terus berada dalam kesebelasan utama di bahagian tengah.

Bekas tonggak UiTM FC itu berkata walaupun menerima pujian penyokong, dia tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu berusaha meningkatkan persembahannya.

"Masih ada kekurangan dalam permainan selain perlu segera menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan.

"Saya mahu membantu TFC mendapatkan tiga mata malam ini," katanya dalam laman media sosial rasmi pasukan.

Digelar 'Kante Terengganu', N'Guessan akan menggalas tugas lebih berat di Ipoh ekoran ketiadaan Lee Tuck yang digantung perlawanan.

Bisa pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, yang meledak hatrik Sabtu lalu serta Kipre Tchetche pasti terus ditagih jurulatih sementara, Mohd Nafuzi Zain.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)