Presiden Kelab Bolasepak Petaling Putera, Datuk Ramlan Askolani, menegaskan bahawa dia dan beberapa wakil ahli gabungan lain tiada perancangan untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam waktu terdekat.

Desakan daripada KLFA sebelum ini masih gagal mencetuskan rasa gerun terhadap anggota gabungan yang menganggap KLFA sendiri tidak menghormati Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tegas Ramlan, jika KLFA mengharapkan surat balasan daripada pihaknya, dia memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

"PJS dah bagi surat untuk mengadakan semula kongres pemilihan selewat-lewatnya bulan ini.

"Kami menekankan kepada hal itu dan tidak akan berganjak bahawa mereka perlu akur kepada PJS.

"Apa salah ahli gabungan berdasarkan surat yang kami dapat?

"Mereka tidak menghormati PJS dan FAM," katanya.

Ramlan menambah pihaknya masih berpegang teguh kepada tarikh akhir yang telah diberikan oleh PJS, iaitu 31 Mei ini, untuk KLFA mengadakan semula kongress pemilihan.

Selain berasa tidak puas hati dengan cara perlaksanaan pemilihan presiden yang diadakan November lalu, Ramlan turut mendakwa terdapat salah laku dalam KLFA, sekali gus mengakibatkan majoriti ahli gabungan hilang rasa hormat terhadap badan itu.

"Jika kita lihat balik, pemilihan sepatutnya dilakukan pada November 2018.

"Kenapa pada masa itu mereka boleh mengumumkan secara terus bahawa presiden telah menang tanpa bertanding?

"Mengapa ia boleh berlaku sedangkan akaun pada ketika itu masih belum siap.

"Bagi saya, ia mungkin kepentingan peribadi ," tambahnya.