Kami terjejas beraksi dengan hanya 10 pemain

Oleh Azizan Hashim 19 Jun 2019 6859
Kami terjejas beraksi dengan hanya 10 pemain
Kekurangan seorang pemain adalah faktor utama menyumbang kepada kekalahan 1-3 Terengganu di tangan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Hakikat itu diakui jurulatih skuad Penyu, Nafuzi Zain, ketika mengulas perjalanan perlawanan ke-17 itu.

"Memang kami terjejas kerana beraksi dengan 10 pemain selama 65 minit, tambahan pula bertemu pasukan berkualiti seperti Perak," katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih sukar kerana Terengganu turun tanpa beberapa tonggak, terutama Lee Tuck.

Tuck terpaksa disisihkan kerana penggantungan dan beberapa pemain mengalami kecederaan.

"Sudahlah kami turun tanpa beberapa tonggak, dah tu terpaksa beraksi kurang satu pemain pula.

"Memang persembahan kami terjejaslah kerana itu," katanya merujuk kepada perintah keluar padang terhadap Dechi Marsel N'Guessan pada minit ke-23.

Begitupun, Nafuzi memuji persembahan anak buahnya yang tetap berusaha memberi saingan kepada tuan rumah.

Malah, jurulatih itu memuji persembahan penjaga gawangnya. Muhamad Ilham Amirullah Razali, yang menjadi penghalang utama kejayaan besar Perak.

"Dia muncul wira kami dengan persembahan bertenaga dan berkesan," ujarnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen